Camping Akhawat : Menyemarakkan Ukhuwwah dan Menggencarkan Dakwah



TUARAN, 16 Mei 2015: "Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana kita berjaya berkumpul di Inap Desa Tuaran ini. Program Camping Akhawat kita adakan dengan harapan setiap yang hadir, apabila pulang ke kawasan masing-masing akan mampu bergerak dan melaksanakan tugas dakwah dengan lebih berjaya. Atas sebab itulah kita meletakkan 'Semarakkan Ukhuwah, Gencarkan Dakwah' selaku tema utama program. Semoga usaha kecil ini akan memberi impak yang besar kepada semua dalam menguruskan kehidupan harian sebagai seorang daieyah yang diredhai Allah," ujar saudari Arifatun Aqilah Abd Aziz, selaku pengarah Program Camping Akhawat.

Program Camping Akhawat yang dihadiri lebih kurang 50 orang peserta ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan untuk mengumpulkan ahli wanita ISMA seluruh Sabah. Selain menekankan aspek kerjasama, program ini juga bertujuan untuk menguji kekuatan fizikal dan mental para peserta.


"Program ini merupakan salah satu wasilah dalam tarbiyyah. Tidak akan lengkap tarbiyyah jika kita tidak mengikut wasilah-wasilah yang digariskan. Jadi, saya mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang  hadir kerana sanggup keluar dari zon selesa, mengorbankan masa, wang ringgit dan tenaga untuk merasai dan berkongsi kesusahan hanya semata-mata untuk mentarbiyyah diri. Ambillah juga peluang ini untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain," ujar Puan Sakinah Shaari, Ketua Wanita ISMA Kota Kinabalu yang turut hadir menjayakan program.


Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program berlangsung ialah sesi perkenalan, perkongsian dan pengisian serta aktiviti permainan pantai dan menunggang kuda. Program yang berlangsung selama satu hari satu malam berakhir dengan salam perpisahan dan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan.



No comments:

Post a Comment