Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, it's been like two years proses pengislahan dzatiyah berlaku setelah mengenal erti sebenar dakwah dan tarbiyah. Semuanya sangat pantas, laksana rahillahyang berlari menyelusuri pergunungan. Allahu Rabbi... Sungguh aku insan kerdil menumpang di bumi Allah. Tapi aku yakin, selama dua tahun inilah aku mengenal erti munthalaq yang sebenar; langkah bermula dalam menjalani kehidupan sebagai seorang 'abid dan khalifah. Kerana aku sedar matlamat sebenar aku hanya satu, yakni bertemu dengan Allah di akhirat kelak dalam keadaan islam dan iman benar-benar tertegak dalam jasad dan rohani.
September 2012
Aku menjejakkan kaki ke bumi Malaysia setelah tamat pengajian di Amerika. Aku kembali ke medan sebenar dakwah dan tarbiyah. Realiti yang harus aku hadapi, bukan lagi dunia fantasi. Saat melihat medan ini, hati bergetar, pelbagai perasaan muncul. Takut, curious, excited dan macam-macam lagi. Inexpiable!Aku melihat wajah umi dan abah penuh kasih. Tapi kegelisahan masih menyelubungi diri, seribu pertanyaan bertepuk di hati.
Akankah tarbiyahku bertemu kesinambungannya di medan sebenar ini?
Adakah aku mampu bergerak atau akan terkandas?
Betulkah pilihan aku?
Aku menjadi takut. Persoalan-persoalan ini ibarat renjatan letrik, mengalir deras di tiap salur darah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa bolak-baliknya hatiku tika itu. Tapi aku yakin, inilah jalan yang telah aku pilih dalam lingkungan takdir Allah. Mana mungkin Allah akan mencampakkan aku ke sini tanpa mampuku. La yukallifullahu nafsan illa wus’aha…[2:286]
Aku cuba sedaya menghubungi akhawat berdekatan. Turun naik KL-KK setiap minggu semata-mata untuk mengisi jiwa dengan tarbiyah. Melaksanakan dakwah, warisan sepeninggalan Rasulullah tercinta. Aku redha walau umi dan abah berat melepaskan. Walau kewangan tak terlalu mengizinkan. Aku yakin, andai ini jalan yang terbaik Allah takdirkan atas pilihanku, Allah pasti membantu. Innallah ma'ana! Sebulan saja aku betah di rumah tanpa berada bersama akhawat, aku tekad mendapatkan redha umi abah untuk berhijrah ke bandar. Alhamdulillah, Allah hadirkan seorang ukht yang menarikku berada bersama gerabak yang sama. Berbekalkan kewangan yang ala kadar, aku bersama akhawat di RI (Rumah Islami). Aku redha, asalkan bi'ah solehah ada di sekelilingku. Yakinlah, bia’h solehah itu amat penting untuk membantu kita mensolehkan diri. Bukan bermakna di rumah sendiri bi'ahku tak solehah, tapi ketiadaan akhawat di sini membuatkan aku lemah dan mungkin futur. Kerana akhawat InsyaAllah bersama kita dalam perjuangan ini dengan matlamat yang sama. Astaghfirullahal ‘adzim. Inilah manusia yang lemah, sentiasa memerlukan manusia di sisi, walhal sepatutmya Allah adalah pergantungan utama kita.
Penghujung Oktober 2012, aku mengikuti akhawat ke universiti untuk berjualan dan berziarah. Saat aku menjejakkan kaki di sebuah institut, aku bertemu dengan seseorang. Tanpa diduga, Allah hadirkan rezeki yang tak disangka. Rupanya beliau merupakan Pengarah di institusi tersebut. Usai bertukar cerita dan pendapat, aku ditawarkan bekerja sebagai Pembantu Penyelidik kepada beliau. Setelah musyawarah dan istikharah, aku terima. Kerana aku yakin dengan langkah ini aku akan dapat menyelami medan dakwah dengan lebih mendalam. Aku yakin, universiti ini adalah antara bumi dakwah yang penuh dengan mad'u. Anasir taghyir yang bisa bersama dalam gerabak. Menjadikan Islam itu tertinggi. Walhal sebelum itu, aku ditawarkan untuk menyambung pengajian di Queensland dan Manchester, serta tawaran bekerja di Semenanjung dengan gaji yang agak lumayan, namun, kerana Allah, aku tolak secara baik keduanya. Aku nekad untuk tinggal di bumi Sabah demi meneruskan perjuangan yang telahpun aku mulakan. Yakinlah dengan janji Allah! [9:111]
Berbekalkan gaji pembantu penyelidik, aku membeli sebuah 'kuda dakwah' bagi memudahkan kerja dakwah dan tarbiyyah. Alhamdulillah, Allah jua yang menentukan segalanya. Pada mulanya, aku agak ragu akan berjaya memilikinya, tapi kun fayakun, lahirlah "Hurrun 'Ain", satu-satunya kenderaan yang memudahkan aku memenuhi kehendak dakwah, tarbiyah serta memenuhi hak akhawat, kedua ibu bapa dan keluarga. Tiada kata dapat diucap, hanya rasa syukur mampu ku lafazkan.
Terlalu banyak kejutan dari Allah. Beberapa ketika kemudian, aku ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam bidang Masters di institusi yang sama. Kini, aku telah berjaya menamatkan pengajian dan bakal bergelar pelajar Ijazah Falsafah Kedoktoran tak lama lagi. Tiada kata yang mampu ku ungkap. Maka benarlah apa yang Rasulullah serukan kepada kita umatnya:
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Sesiapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa menutup aib seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah suatu rumah Allah dengan membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali bahawa ketenteraman akan turun kepada mereka, malaikat menaungi mereka di hadapan makhluk yang di sisi-Nya, dan sesiapa yang lambat (kurang) amalannya, maka tidak akan dipercepat mengangkat darjatnya.”[Hadis Riwayat Muslim dan At-Tirmidzi]
![]() |
| Waheeda Husna Zuldin, Ketua Beliawanis PEMBINA Sabah. |
Kini, aku ditawarkan untuk bekerja sebagai felo siswazah di institut ini dan insyaAllah akan meneruskan impianku untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar di sini. Moga ini menjadi asbab untuk aku menyantuni medan amal. Asbabuntuk aku tajmi’ bakal jundi-jundi Allah, dengan izin-Nya. Dakwah ini tidak memerlukan diri kerdilku, tapi aku insan biasa yang benar-benar memerlukan dakwah sebagai saham untuk dibentangkan di hadapan Allah kelak. Moga Allah redha dengan setiap langkahku. Sungguh, mati di jalan Allah itu saja cita-cita tertinggiku.
Ya Allah, moga apa yang di hadapan menjadi yang terbaik buat diriku. Dan semoga, aku terus tsabat hingga akhir hayat! Aamin...
Oleh:
Waheeda Husna Zuldin,
Ketua Beliawanis PEMBINA Sabah

