Showing posts with label NAZIM. Show all posts
Showing posts with label NAZIM. Show all posts


Oleh: Wan Nurul Nadiah

 
SANDAKAN, 31 OGOS 2015: Program Smart Solat merupakan program pertama anjuran Kelab Anak-Anak Islam Hebat Malaysia (NAZIM) syukbah Sandakan, Sabah. Program yang diadakan di Masjid Jannatun Na’im itu telah berjaya menarik kehadiran seramai 35 orang peserta yang berumur dalam lingkungan 6 tahun hingga 12 tahun.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program tersebut berlangsung. Antaranya ialah sesi belajar dan praktikal solat bersama fasilitator dan juga nyanyian lagu rukun solat. Selain itu, aktiviti kuiz smart solat turut diadakan bagi menceriakan program. 



Ustazah Aida Royana, AJK Masjid Jannatun Na’im ketika ditemui berkata, “Kami sangat berbesar hati atas kerjasama yang dijalankan dengan NAZIM. Saya berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan kita cuba mencakupi golongan remaja pula.”

Pengarah program merangkap aktivis NAZIM Sabah, saudari Wan Nurul Nadiah, berucap ketika majlis penutup, “NAZIM sangat komited dalam membangunkan generasi beragenda. Atas sebab itulah kami mengadakan Kem Smart Solat ini supaya dapat memberi didikan awal kepada anak-anak untuk membentuk peribadi Muslim yang sempurna. Kami berharap agar semua peserta yang hadir dapat mempraktikkan apa yang dipelajari sekaligus melaksanakan rukun Islam yang disyariatkan.”
Read more »

KOTA KINABALU, 4 Jun: Seramai 47 orang peserta dalam lingkungan umur enam hingga 13 tahun telah mengikuti Kem Smart Solat baru-baru ini. Kem yang dianjurkan oleh Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA (BKM) dengan kerjasama Kelab Anak-Anak Hebat ISMA (NAZIM) telah berlansung selama tiga hari dua malam, bermula 2 Jun 2015, pukul 7.30 pagi dan berakhir pada 4 Jun, 12.30 tengahari.

Objektif utama Kem Smart Solat ini ialah untuk melahirkan lebih ramai umat Islam yang berkualiti dan memupuk 10 muwassofat tarbiyyah yang digariskan oleh Ikhwanul Muslimin. Tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam Kem Smart Solat ialah sejarah pensyariatan solat, aurat di luar dan dalam solat, praktikal wudhu, praktikal solat serta sejarah azan dan iqamah. Topik tersebut disampaikan dengan cara yang kreatif oleh dua orang penceramah jemputan; Ustazah Nurul Syafiqah binti Lokman dan juga Ustazah Wafa’ binti Sarip, yang merupakan graduan Universiti Sultan Zainal Abidin dan Darul Quran.

Ustazah Wafa' ketika ditemui berkata, “Anak-anak perlu memahami cara beribadah yang betul sejak kecil lagi supaya mereka boleh mempraktikkan ilmu tersebut dan tidak mempunyai persepsi yang salah terhadap ibadah, terutamanya solat. Atas sebab itulah kita berusaha menjayakan kem ini agar anak-anak yang hadir dapat menghayati ibadah dengan sebenar-benarnya.”

Kem yang berlansung selama tiga hari ini mendapat respon yang positif daripada pihak peserta dan juga ibu bapa. Puan Raliyah, ibu kepada salah seorang peserta yang hadir berkata, “Saya sangat gembira dapat menghantar anak saya menyertai program ini. Saya menyeru kepada semua ibu bapa agar menghantar anak-anak mengikuti perogram sebegini kerana ia dapat membantu anak-anak memahami cara beribadah yang benar sekaligus menerapkan akhlak-akhlak Rasulullah dalam peribadi mereka. Saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak penganjur. Tahniah BKM dan NAZIM!”

Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat melahirkan tentera-tentera Islam yang berkualiti dan melahirkan umat Islam yang mengutamakan kepentingan agama melebihi kepentingan diri sendiri. Amin.
Read more »