KOTA KINABALU, 29 Mei: Program ‘Say No To Zina’ anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama Ikatan pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Sabah telah berlansung pada 26 Mei yang lalu, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau, Putatan, Sabah. Program ini telah disertai oleh 168 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga dan Empat.
Ustaz Muhammad Amin Ribbang, ketika ditemui berkata, “Objektif utama kita menganjurkan program ‘Say No To Zina’ ini adalah untuk memberi kesedaran tentang bahaya zina kepada remaja dari aspek kesihatan, agama dan sosial. Selain itu, kita juga ingin menyedarkan para remaja bahawa zina itu boleh dicegah dan dielakkan. Dan pencegahan ini tidak akan berjaya tanpa usahasama antara ibu bapa, sekolah, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan serta masyarakat.” Ustaz Muhammad Amin Ribbang merupakan guru yang bertugas di SMK Tansau, merangkap pengarah program ‘Say No To Zina’.
“Analisa kes buang bayi yang berlaku di Malaysia dari tahun 2010 sehingga kini menunjukkan peratusan kes yang berlaku semakin meningkat dari tahun ke tahun. Kalau perkara ini dibiarkan, pastilah akan memburukkan imej agama dan negara. Jadi, kita harap program ini dapat membantu remaja untuk lebih memahami tentang pengharaman zina dan syariat-syariat Allah,” ujar Dr Amirah Ab Jalil, selaku wakil I-Medik Sabah, yang turut hadir memeriahkan majlis.
Program ini turut menampilkan saudari Iffah Fadhilah, graduan Universiti Sungkyunkwan, Korea dan Ustaz Amin Ribbang sendiri dalam forum ‘Say No To Zina’ yang dikendalikan oleh Ustazah Wafa’ Sarip, graduan Darul Quran. Ketiga-tiganya adalah aktivis KRIM Kota Kinabalu dan contoh peribadi remaja cemerlang
Program berakhir tepat jam satu petang. Program ini mendapat respon yang amat positif dari kalangan guru-guru dan juga para pelajar. Semoga program seperti ini dapat menghasilkan golongan remaja yang berkualiti untuk menjadi seorang pemimpin negara dan ummah pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment