KOTA BELUD, 9 Jun: Prihatin dengan nasib mualaf di Kampung Melangkap Kapa di daerah Kota Belud, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Kinabalu dengan kerjasama Yayasan Ikhlas Sabah dan Aman Palestin Sabah telah menziarahi mereka pada 6 Jun yang lalu. Projek ini disertai oleh 24 orang ahli ISMA KK termasuk YDP ISMA KK, Ustaz Sarip Adul.
Projek ini diadakan bertujuan untuk menyampaikan beberapa sumbangan bersempena dengan bulan Ramadan dan juga persiapan Syawal yang bakal menjelma, sekaligus menjalinkan ikatan silaturrahim sesama Muslim. Sumbangan berbentuk keperluan harian seperti beras, air mineral dan duit raya telah diedarkan kepada 16 orang mualaf di kampung tersebut.
Ujar Ustaz Sarip dalam pertemuan bersama penduduk Muslim di sana, “Islam merupakan agama rahmat bagi semua penganutnya dan bukan semata-mata sebagai agama ritual. Ia juga merupakan agama yang mementingkan persaudaraan sesama Islam. Oleh itu, semoga dengan pertemuan ini akan menjadi titik permulaan untuk kita merangka pertemuan yang akan datang.” Beliau juga berkata bahawa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Kinabalu akan berusaha sedaya upaya dalam mencari dana untuk membina surau di kampung tersebut."
Kampung Melangkap Kapa merupakan salah satu kawasan yang turut terkena tempias kejadian gempa bumi yang lepas. Puan Arni, salah seorang daripada penduduk Islam di sana berkata, “Saya sangat terharu dan teruja dengan kehadiran team Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Kinabalu ke kampung kami. Hal ini kerana, sejak lapan tahun saya menetap di sini, ini merupakan kali pertama ada pihak yang sudi membantu masyarakat mualaf di sini”. Ujar beliau lagi, “Masyarakat Muslim merupakan masyarakat minority di sini. Oleh itu, hanya Allah sahaja yang boleh membalas amal baik kalian. Terima kasih.”
Semoga dengan amal ini dapat membantu umat Islam di Sabah yang benar-benar memerlukan. Tahniah ISMA KK, Aman Palestin Sabah, Yayasan Ikhlas Sabah dan ahli-ahli yang terlibat!

No comments:
Post a Comment