KOTA KINABALU, 17 Ogos: Program Zero To Hero anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Kota Kinabalu telah diaadakan pada 16 Ogos 2015 yang lalu. Program ini merupakan aktiviti keempat dari pakej Akademik Remaja KRIM (ARK) dan telah diadakan di pejabat ISMA Kota Kinabalu, Kingfisher.
Bertemakan ‘Ledakkan Potensi Diri’, program ini berjaya menarik penyertaan seramai 43 orang. Seperti pakej-pakej sebelumnya, objektif utama pakej ARK ini adalah melahirkan generasi remaja yang berperibadi unggul, bertunjangkan iltizam, motivasi dan jati diri mantap.
Menurut saudari She Rada Oyong, peserta ARK 2015, “Program Zero To Hero tidak pernah mengecewakan. Kali ini, saya telah mampu mengenal potensi diri dan tujuan hidup yang sebenar. Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program juga sangat menarik, menyebabkan saya mengikuti semua pakej yang telah diadakan.”
Dalam pakej keempat ini, peserta Zero To Hero telah disajikan dengan dua slot yang sangat menarik iaitu ‘Kenali Potensi Diri’ pada slot pertama yang telah disampaikan oleh Ustaz Fahnan, seorang penceramah bebas yang terkenal di Sabah. Slot kedua pula, iaitu sesi forum telah disampaikan dua oleh aktivis ISMA, iaitu saudari Wahidatul Husna Zuldin dan saudara Umair Abdullah.
Ujar saudara Umair bin Abdullah dalam penutup forum, “Adik-adik perlu sentiasa betulkan matlamat hidup. Kalau kita letakkan dunia sebagai landasan untuk menuju akhirat, insyaAllah, Allah akan bantu adik-adik untuk cemerlang dalam semua bidang yang adik-adik ceburi. Saya berharap adik-adik di depan saya ini akan berjaya dan menjadi pemuda harapan ummah seperti Sultan Muhammad Al-Fateh dan pemuda-pemuda lain di zaman Rasulullah SAW.”


No comments:
Post a Comment