KOTA KINABALU, 31 Ogos: Sempena bulan kemerdekaan tahun ini, Wanita ISMA Kota Kinabalu telah menyahut seruan untuk melancarkan ‘Kempen Muliamu Wanita - Jauhi Zina’ di Sabah. Kempen ini telah disertai oleh hampir kesemua aktivis Wanita ISMA Kota Kinabalu dan diadakan di kawasan Putatan, Kota Kinabalu, Telipok dan juga Sandakan.
“Kempen ini merupakan langkah awal untuk mencegah zina terutamanya pada bulan kemerdekaan. Selain itu, kami adakan kempen ini untuk menyedarkan para wanita peri pentingnya memelihara maruah dan mempertahankan identiti sebagai wanita muslimah,” ujar Ustazah Sakinah Shaari, Ketua Wanita ISMA Kota Kinabalu ketika ditemui dalam majlis pelancaran kempen yang diadakan di Masjid Telipok pada 29 Ogos yang lalu.
Aktiviti utama dalam kempen ini ialah pengedaran risalah ‘Jauhi Zina’ pada 23, 27 dan 29 Ogos 2015 yang lalu di kawasan-kawasan sekitar Sabah. Selain itu, ceramah-ceramah ‘Jauhi Zina’ turut diadakan dan disampaikan oleh aktivis-aktivis ISMA yang bertauliah.
Ujar Ustazah Sakinah lagi, “Sasaran utama kami ialah golongan belia dan wanita terutamanya pasangan bercinta. Oleh sebab itu, kami telah mengedarkan risalah di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli belah dan juga kawasan sekolah. Alhamdulillah setakat ini, kami telah berjaya mengedarkan hampir 1000 keping risalah.”
Semoga dengan program ini dapat membanteras dan mencegah berlakunya zina di kalangan masyarakat.


No comments:
Post a Comment