Oleh: Amirah Labibah
TAWAU, 25 Oktober: Menyedari masalah sosial yang kian meruncing, Persatuan Belia Nasional (PEMBINA) Sabah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Tarbiah Sentap telah menganjurkan sebuah forum yang berjudul ‘Cinta Paling Agung’. Program yang berlangsung di Dewan Al-Hadanah Centre Tawau pada 24 Oktober lalu telah menampilkan Ahmad Adnin bin Roslan dan Ahmad Shukery Azizan sebagai panelis dan Muhd Hasbi Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Mr Bie sebagai moderator. Program ini telah mendapat sambutan hangat dan disertai oleh 109 orang belia dari daerah Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.
Forum ini telah dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada belia masa kini tentang batas-batas sebenar pergaulan antara lelaki dan perempuan. Selain itu, belia juga harus sedar akan bahaya pergaulan bebas ke atas jati diri memandangkan belia adalah pemimpin negara pada masa akan datang. Dengan mengambil teladan dari kisah hidup Rasullullah SAW, belia seharusnya bijak mengambil jalan penyelesaian yang halal dan betul dalam menangani isu-isu sosial.
Ahmad Adnin yang merupakan pengasas page facebook Tarbiah Sentap telah berkata dalam ucapan aluannya, “Ramai orang dalam Malaysia melakukan maksiat tapi tidak tahu apa yang mereka lakukan itu salah dari segi syariat. Maka kami, Tarbiah Sentap mengambil inisiatif untuk melaksanakan tanggungjawab untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang Islam sebenar.”
Apabila disentuh tentang isu hiburan, saudara Ahmad Shukery Azizan yang juga merupakan penulis buku ‘Cerpen Sentap’ telah menyatakan “Imam Hasan Al-Banna apabila sudah letih seharian berdakwah, pada malam harinya dia akan mengeluarkan Al-Quran lalu membacanya. Apabila ditanya oleh sahabatnya apakah beliau tidak letih. Jawabnya mudah sahaja, Al-Quran itu adalah hiburan baginya.”
Ramai peserta turut terhibur apabila forum turut diceriakan dengan nyanyian merdu dari moderator forum Mr Bie yang merupakan anak kelahiran Tawau sendiri. “Kami berharap agar urusetia akan menganjurkan program menarik seperti ini lagi,” ujar salah seorang peserta wanita pada majlis penutup.
Pengarah program juga merangkap ahli aktif PEMBINA Sabah, saudara Asnan bin Hamdin berkata, “PEMBINA Sabah akan terus komited dalam menjayakan program yang membina jatidiri dan mencungkil potensi sebenar dalam diri belia masa kini. Semoga program ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan kearah yang lebih baik bagi setiap peserta yang terlibat.”



No comments:
Post a Comment