Ijtimak ISMA Kota Kinabalu Bangkitkan Kekuatan Aqidah Dan Ukhwah Ahli


KOTA KINABALU, 9 Mac: “Ukhwah adalah satu nikmat berharga daripada Allah. Tanpa ukhwah, pastinya sesebuah organisasi akan bergerak perlahan dan tidak mampu berkembang dengan baik. Atas sebab itulah kita berkumpul pada ijtimak kali ini supaya Allah tautkan hati-hati kita dengan ikatan aqidah seterusnya mewujudkan rasa kebersamaan dan ukhwah, kerana itulah sumber utama kekuatan kita,” ujar saudara Muhammad Nazri Ismail, wakil Jawatankuasa Cawangan (JKC) pada majlis pembukaan Ijtimak ISMA Kota Kinabalu yang telah diadakan, baru-baru ini.

Ijtimak ISMA Kota Kinabalu merupakan aktiviti berkala yang mengumpulkan seluruh ahli ISMA yang berada di Sabah. Ia dianjurkan buat julung kalinya pada 28 Februari yang lalu dan telah berjaya mengumpulkan hampir 100 orang ahli ISMA yang berada di seluruh pelusuk negeri Sabah.

“Tidak bersatu hati manusia walaupun seluruh isi dunia dikumpul, melainkan Allahlah yang menyatukan hati-hati mereka yang beriman. Kita boleh lihat orang-orang kafir seakan-akan bersatu, tetapi hakikatnya hati mereka berpecah belah,” ujar saudara Muhammad Nazri lagi.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah game ukhwah, sesi suai kenal dan nyanyian nasyid ‘Bingkai Kehidupan’ sebagai nasyid tema ijtimak. Program yang diadakan di Sepanggar itu berakhir tepat jam 10 pagi.

Semoga penganjuran ijtimak ini menjadi titik tolak untuk ISMA Kota Kinabalu terus bergerak maju, berbekalkan kekuatan aqidah dan ukhwah.


1 comment:

Post a Comment