ISMA Kota Kinabalu Menghantar Bantuan Ke Kundasang


Ranau, 19 Jun: Ikatan Muslimim Malaysia (ISMA) cawangan Kota Kinabalu telah melaksanakan satu lagi aktiviti kemasyarakatan iaitu menghulurkan sumbangan kepada penduduk Kundasang yang terjejas teruk akibat kejadian gempa bumi dan banjir lumpur yang berlaku di Kundasang baru-baru ini.

           Pengedaran sumbangan ini telah diketuai oleh wakil ISMA Kota Kinabalu, Ustazah Halimatus Saadiah bt Mohd Saad, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Kinanapon, Ranau.  Sumbangan dalam bentuk makanan asasi seperti beras dan telur telah diedarkan kepada kira-kira 60 buah keluarga yang terlibat.

Wakil Pengerusi Kampung Mensilau, Encik Japudin Gandipal ketika ditemui telah berkata, "Buat masa ini, penduduk kampung telah terjejas kerana kerosakan tempat kediaman dan kehilangan mata pencarian. Kawasan kampung dan kebun mengalami kerosakan teruk. Jalan perhubungan utama turut terputus, menghalang mereka bergerak ke tempat kerja masing-masing. Kebanyakan mangsa juga masih dalam keadaan trauma." Kata beliau lagi kepada wakil ISMA, "Terima kasih atas bantuan yang diberikan saat-saat kami sangat memerlukan."

ISMA Kota Kinabalu mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu yang menyalurkan bantuan kepada saudara-saudara kita di Kampung Mensilau, Kundasang. Semoga Allah memberi ganjaran berkai ganda khususnya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Semoga sedikit sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan khususnya bagi yang beragama Islam dalam mereka melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan. 

Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Kota Kinabalu masih lagi menerima sumbangan kewangan daripada orang ramai yang akan digunakan untuk membeli barang keperluan asasi saudara kita yang terbabit dalam kejadian tersebut. Sumabgan anda akan kami sampaikan terus kepada penduduk yang memerlukan.  Bagi yang ingin memberi sumbangan, sila hubungi Puan Sakinah bt. Shaari, Ketua Wanita ISMA Kota Kinabalu di talian 0138701881 atau wakil ISMA, Ustazah Halimatus Saadiah bt Mohd Saad di talian 0195851295.

No comments:

Post a Comment