Oleh: Aliff Asyraf
BUKIT PADANG, 31 Jan – Karnival Lepasan Sekolah (KLS) Sabah bagi tahun 2016 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Ahad yang lepas, bertempat di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK). Program ini adalah anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Sabah dengan kerjasama PIBG Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK) dan juga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kota Kinabalu, dengan sokongan I-Guru dan I-Medik Sabah.
Program yang berlangsung selama satu hari ini telah disertai oleh 200 orang pelajar lepasan SPM dan STPM dari seluruh negeri Sabah. Antaranya pelajar SMK Tansau Penampang, SMK Pekan Telipok, SMK Kinarut, SMK Pulau Gaya, SMK Kudat (2), SMKA Tun Said Kota Belud, SMK Kundasang, SM Islam Tambunan, SMK Lohan Ranau, SMK Sri Nangka Tuaran, SMK Badin Tuaran dan juga SM Sains Sabah.
Pengarah program, Dr. Aliff Asyraf berucap dalam majlis perasmian, “KLS adalah program mega anjuran KRIM dan turut dilaksanakan di cawangan-cawangan KRIM seluruh negara. Tujuan utama KLS ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang hala tuju kehidupan selepas tamat persekolahan dan juga sebagai pendedahan awal kehidupan sebagai seorang mahasiswa universiti. Selain itu, KLS juga adalah medium perkongsian pengalaman antara tokoh mahasiswa dan pelajar supaya mereka dapat mengekalkan kecemerlangan ketika di universiti nanti.”
Antara aktiviti yang dijalanakan adalah sesi motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fahnan, pakar motivasi remaja dengan tajuk ‘Hala Tuju Selepas Sekolah’. Perkongsian selama 1 jam 30 minit ini banyak memberikan gambaran hala tuju hidup selepas sekolah dan motivasi untuk memanfaatkan dan merancang masa cuti dengan sebaiknya sebelum melangkah ke IPT. Selain sesi motivasi, KRIM Sabah turut menjemput Puan Sabriah Maili, Ahli Jawatankuasa Majlis Guru Binbingan dan Kaunseling Sabah, Encik Mohd Redzuan, Pegawai Pelajaran dan Biasiswa Sabah dan Cik Puan Jumriati binti Abdullah, Pengurus Aman Palestin Cawangan Sabah untuk menjelaskan tentang peluang-peluang pengajian dan kerjaya, cara untuk memohon biasiswa (khususnya biasiswa Yayasan Sabah) dan tips penampilan, pemakaian serta cara terbaik untuk menjawab soalan ketika sesi temuduga.
Aktiviti lain yang turut menarik minat peserta adalah sesi forum yang bertajuk ‘Survival Kampus’. Forum ini telah dikendalikan oleh Dr. Aliff Asyraf, Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Queen Elizabeth dan menampilkan beberapa orang tokoh mahasiswa seperti Cik Puan Waheedatul Husna, graduan dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang memperolehi Anugerah Thesis Terbaik Master UMS 2015 dan Ustaz Amin bin Ribbang, graduan Universiti Malaya (UM) dalam bidang pengajian Islam dengan Anugerah Kecemerlangan dan Tokoh Belia PEMBINA 2013. Forum ini turut menampilkan Ustaz Dr Sarip bin Adul, pensyarah Pusat Perantaraan & Bahasa (PPPIM) UMS dan pemegang phD Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Forum yang berlangsung selama dua jam ini banyak berkisar tentang nasihat dan perkongsian hidup di university, dalam dan luar negara serta persediaan fizikal, mental dan spiritual sebelum menjadi mahasiswa.
Majlis penutup dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK) sebagai sekolah tuan rumah. Dalam ucapannya, beliau gembira dengan program KLS yang memberikan seribu satu manfaat kepara para pelajar. Beliau berharap kerjasama antara pihak sekolah dengan KRIM Sabah dan ISMA Kota Kinabalu dapat diteruskan lagi di masa-masa akan datang.
Tahniah kepada para peserta KLS, ahli KRIM Sabah, barisan AJK, warga SMAKK dan semua yang terlibat. InshaAllah, kita berjumpa lagi dalam Karnival Lepasan SPM di masa akan datang!


No comments:
Post a Comment