Siri Jelajah ‘Say No To Vape Dan Rokok’: Vape Bukan Terapi Alternatif Untuk Mengurangkan Ketagihan Merokok

Oleh: Liyana Sulaiman

TELIPOK , 1 Feb: “Isu-isu sosial remaja kebanyakkannya bermula dengan rokok dan vape. Didorongi ketagihan dan pengaruh rakan-rakan sebaya yang tidak baik, remaja mula belajar mencuri, ponteng kelas, melawan cakap ibu bapa, guru dan akhirnya mengambil dadah.” Begitulah sebahagian perkongsian Dr Aliff Asyraf dalam program ‘Say No To Rokok dan Vape’ yang telah dijalankan pada Isnin yang lalu, bertempat di SMK Pekan Telipok. Ceramah ini adalah anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Sabah, dengan kerjasama SMK Pekan Telipok  dan I-Medik Sabah.


Dr. Aliff Asyraf merupakan Pegawai Perubatan Siswazah Hospital Queen Elizabeth dan juga merupakan aktivis I-Medik Sabah.

“Munurut laporan yang dikeluarkan World Health Organization (WHO) dan Federal Drug Association (FDA) Amerika Syarikat, tiada bukti yang menunjukkan vape sebagai satu terapi alternatif untuk mengurangkan ketagihan merokok. Menurut agensi-agensi ini juga, adalah menjadi satu kesalahan undang-undang bagi mana-mana syarikat pengeluar vape yang mengatakan bahawa penggunaan vape lebih selamat berbanding rokok,” ujarnya lagi.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meberi kesedaran kepada para pelajar tentang bahaya rokok dan rokok elektronik atau vape yang kini digilai oleh golongan remaja. Selain itu, para pelajar juga diberi motivasi dan galakan untuk berhenti merokok (bagi yang merokok) dan diajar tips untuk mengelakkan daripada terjebak dalam gejala tersebut.


Program turut dimeriahkan dengan sesi tayangan video, demonstrasi eksperimen kecil bahaya rokok dan sesi interaksi bersama pelajar termasuk kuiz dan perkongsian pendapat. Program ini bukan sahaja menarik minat pelajar malah turut mendapat sambutan yang menggalakkan dan respon yang positif daripada barisan pendidik SMK Telipok.

Tahniah diucapkan kepada KRIM, I-Medik Sabah dan SMK Pekan Telipok atas program yang bermanfaat ini.

Sayangi remaja kerana mereka tunggak kepimpinan negara pada masa akan datang. Say No To Vape & Rokok!

No comments:

Post a Comment